Tuesday 7 March 2017

MUKA DEPAN

KHURAFAT DALAM FILEM



OLEH:
MARZUKI BIN SEPIAAIL



PENSYARAH JABATAN PENGAJIAN AM
POLITEKNIK SULTAN AZLAN SHAH
BEHRANG STESEN,
BEHRANG
PERAK




PENGENALAN

Khurafat, Tahyul dan Kebudayaan Karut

Takrif Menurut Kitab Al-Mu’jam al-Wasit, khurafat adalah “cerita-cerita yang mempersonakan yang dicampuradukkan dengan perkara dusta”. Manakala mengikut Kamus al-Marbawi bahawa khurafat ialah; “sebarang cerita yang benar-benar dusta”. Pendapat lain menyebut bahawa; khurafat adalah sesuatu hal yang tidak masuk akal atau perkara-perkara yang sukar untuk dipercayai kebenarannya. Berdasarkan takrif tersebut dapat dibuat kesimpulan bahawa khurafat ialah sesuatu perkara mempersonakan berbentuk rekaan atau dongeng (legenda) yang karut atau tahyul yang menyimpang dari ajaran Islam. Manakala istilah tahyul pula adalah bermaksud; semua cerita, sama ada khayalan atau rekaan, ajaran-ajaran, pantang larang, adat istiadat, ramalanramalan, pemujaan atau kepercayaan yang menyimpang dari ajaran Islam. Ia meliputi cerita-cerita yang mempersonakan dan bercampuraduk dengan perkaraperkara yang dusta. Manakala kebudayaan karut ditakrifkan sebagai keseluruhan tatacara hidup serta hasil kegiatan dan penciptaan yang berupa kebendaan atau kerohanian dalam sesuatu masyarakat, tamadun dan peradaban yang direka serta ianya bercanggah dengan ajaran Islam. Ketiga-tiga istilah di atas adalah mempunyai maksud dan kaitan yang rapat di antara satu sama lain.

Ciri-ciri Khurafat dan Tahyul

(a) Cerita-cerita yang tidak didasarkan pada nas-nas syarak sama ada al-Quran atau al-Hadith.
(b) Cerita-cerita yang berunsur metos dan lagenda, rekaan, dongeng, khayalan atau kepercayaan karut
(c) Cerita-cerita yang bersumberkan kepada kepercayaan lama dan adat yang bercanggah dengan Islam.
(d) Cerita-cerita yang berbentuk pemujaan dan permohonan kepada ‘makhluk halus’ bagi tujuan memudharatkan orang lain dan menyeleweng dari akidah Islam.
(e) Menggunakan objek-objek tertentu seperti kubur, pokok dan sebagainya bagi tujuan tertentu.
(f) Cerita-cerita yang mempunyai unsur-unsur negatif dari segi akidah dan syariat Islam.

Bentuk-Bentuk Khurafat dan Tahyul 

Di antara bentuk-bentuk khurafat dan tahyul ialah;
(a) Kepercayaan kepada keramat seperti kubur, pokok kayu dan seumpamanya.
(b) Kepercayaan kepada nasib sial majal, seperti adat membuang sial.
(c) Kepercayaan kepada jin dan memohon pertolongan daripadanya, umpamanya adat ‘memuja kampung’.
(d) Kepercayaan kepada bertambah dan berkurangnya rezeki seperti adat memuja semangat padi.
(e) Kepercayaan kepada petanda-petanda dan pantang larang, seperti menangguhkan perjalanan jika terdapat biawak melintas kerana dianggap sebagai isyarat benda tidak baik akan berlaku.
(f) Percaya kepada ramalan-ramalan bintang, angka-angka atau rajah-rajah tertentu.
(g) Memuja objek-objek tertentu, roh nenek moyang dan kubur.

Hukum Beramal Dengan Perkara Khurafat dan Tahyul

Dalam Islam, percaya kepada benda-benda khurafat dan tahyul, seumpama benda-benda keramat seperti pokok, kubur, telaga dan sebagainya serta percaya ianya mempunyai kuasa selain daripada Allah SWT adalah syirik dan bertentangan dengan kepercayaan tauhid kepada Allah SWT.

Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Jauhilah tujuh perkara yang merosakkan”. Para sahabat bertanya, “Apakah tujuh perkara itu?’ Baginda menjawab: “Menyengutukan Allah, sihir, membunuh orang tanpa hak, makan riba, makan harta anak yatim, lari dari medan perang dan menuduh perempuan baik melakukan maksiat terkutuk”. (Hadith Riwayat al-Bukhari, Kitab Sahih al-Bukhari, Kitab al-Hudud, Bab 44, hal.33)

(GARIS PANDUAN BAHAN PENERBITAN BERCETAK DAN AUDIO VISUAL BERHUBUNG DENGAN UNSUR-UNSUR YANG BERCANGGAH DENGAN AKIDAH DAN AMALAM AHLI SUNNAH WAL JAMAAH) UNIT KAJIAN MEDIA, SEKSYEN AKIDAH BAHAGIAN PERANCANGAN DAN PENYELIDIKAN JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA BLOK D7 & D9 KOMPLEKS D, PUSAT PENTADBIRAN KERAJAAN PERSEKUTUAN 62519 PUTRAJAYA

PENGERTIAN KHURAFAT

Pengertian Khurafat dari Aspek Bahasa 

  1. Maksud doktrin ialah prinsip atau kepercayaan yang dianggap benar dan satu-satunya dapat diterima (Hajah Noresah bt Baharom, 2002). 
  2. Maksud ‘Khurafat’ pula ialah ajaran yang bukan-bukan, atau karut, dongeng dan tahyul (Hajah Noresah bt Baharom,2002). ‘alkhurafat’ juga bermaksud cerita bohong, dongeng dan tahyul atau sesuatu yang tidak masuk akal. Semua kepercayaan, keyakinan atau kegiatan yang tidak memiliki dasar atau bersumber daripada ajaran agama tetapi diyakini bahawa hal tersebut berasal dan memiliki dasar daripada agama (Ensiklopedia Islam, 2004). 
  3. Merujuk kepada etimologi, adalah ternyata khurafat berasal dari bahasa arab kharafayakhrifu-kharfan-khurafatan. Padanan bahasa Inggerisnya merujuk kepada supersition atau supertitio dalam bahasa Latinnya yang membawa maksud sesuatu yang dipetik, atau cerita bohong dongeng dan tahayul atau sesuatu hal yang tidak masuk akal atau sesuatu yang dusta tetapi menarik (Ensiklopedia Hukum Islam, 1997) atau sesuatu cerita yang dusta tetapi menarik (Ibnu Manzur, 1907). 
  4. Menurut aspek terminologinya bererti lemah akal kerana ketuaan atau orang yang rosak akalnya sebab nyanyuk kerana terlalu tua (Ibnu Manzur, 1907). 
  5. Manakala, dalam buku kecil Penjelasan Istilah Yang Boleh Membawa Penyelewengan Akidah, JAKIM 2006, mendefinasikan khurafat ialah cerita-cerita yang mempersonakan yang dicampuradukkan dengan pekara dusta, khayalan, ajaran-ajaran, pantang larang, adat istiadat, ramalan, pemujaan atau kepercayaan yang amat bertentangan dengan ajaran Islam. Semua pekara yang berkaitan perlu dijauhi oleh semua orang Islam, kerana ia merupakan dosa. Tegasnya, kurafat adalah amalan atau fahaman atau tingkahlaku atau perbuatan yang bercanggah dengan akidah dan syariah Islam. Oleh itu kurafat boleh diketagorikan sebagai ajaran sesat (JAKIM, 2006).  
  6. Menurut Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Melaka (2002) Khurafat ialah semua cerita sama ada rekaan atau khayalan, ajaran-ajaran, pantang larang, adat istiadat, ramalan-ramalan, pemujaan atau kepercayaan yang menyimpang dari ajaran Islam. Khurafat juga merangkumi cerita dan perbuatan yang direka dan bersifat karut atau dusta

Pengertian Khurafat Dari Sudut Istilah

  1. Menurut Husin ‘Abdul Wahid, khurafat adalah perkara yang saling bersilih ganti dengan dongeng yang asasnya tidak wujud. Khurafat adalah merupakan dongeng yang berubah-ubah yang dikhayalkan dan digambarkan oleh masyarakat sebagai makhluk halus yang boleh berubah kepada menyerupai sesuatu. Sesuatu gambaran yang dikhayalkan berdasar realiti semasa atau identiti masyarakat setempat 
  2. Hai Bin Yaqdzan berpandangan khurafat berlaku atas sebab manusia yang sifatnya inginkan motivasi dan perlukan kekuatan dalam menjalani kehidupan. Kompenan yang penting kewujudan khurafat ini adalah dari generasi berpindah ke generasi seterusnya dengan versi yang sama tetapi ditokok tambah dan penyelewengan yang semakin berkembang (Hussin ‘Abdul Wahid, 1980). 
  3. Manakala Dr Ali Mahfuz, seorang ahli teologi Islam, mendefinisikan khurafat adalah sesuatu yang tidak dapat diterima oleh akal yang sihat. Orang yang membawa hal-hal yang bersifat khurafat biasanya suka memutarbalikkan fakta, memberikan hal-hal yang bersifat dusta dan menonjolkan hal-hal yang batil (Hussin Abdul Wahid, 1980). 
  4. Dari sudut kategori bid’ah pula, keberadaan khurafat adalah sebahagian dari bid’ah yang diertikan sebagai penambahan kepada apa yang dibenarkan syarak. Penambahan dalam halhal ibadah disebut bid’ah, manakala dalam kepercayaan (akidah) dinamakan bidah akidah atau khurafat (H.Djarnawi Hadi Kusuma, t.t.). 
  5. Al-Sheikh ‘Ali Mahfuz menjelaskan bid’ah akidah (khurafat) sebagai kepercayaan kepada sesuatu perkara yang menyalahi ajaran Rasulullah s.a.w. (Ali Mahfuz, t.t) Justeru, setiap individu perlu memahami secara jelas dan tidak memandang remeh perkara bid’ah agar tidak terjerumus ke dalam khurafat.
Pengertian Khurafat dari Aspek Pandangan Ulama 

Berpandukan keputusan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan malaysia Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-40 yang bersidang pada 9 Augus 1996 telah membincangkan Khurafat Dan Azimat Menurut Perspektif Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa bersetuju dengan garis panduan yang telah disediakan untuk dijadikan panduan kepada orang ramai (E-Fatwa,1996):

  • Khurafat ialah semua cerita atau rekaan atau khayalan, ajaran-ajaran, pantang larang, adat istiadat, ramalan-ramalan, pemujaan atau kepercayaan yang menyimpang dari ajaran Islam. Khurafat juga merangkumi cerita dan perbuatan yang direka dan bersifat karut atau dusta.
  • Azimat ialah satu bentuk permohonan untuk mendapatkan pertolongan atau bantuan bagi manfaat diri sendiri atau untuk memudharatkan orang lain dengan menggunakan objek-objek dan ayat-ayat tertentu yang dianggap mempunyai kesaktian dan kuasa ghaib yang melampaui kekuatan semula jadi apabila dijampi atau dipuja.
  • Islam sangat menitikberatkan soal akidah dan syariat. Segala amalan dan kepercayaan yang tidak berdasarkan kepada sumber-sumber yang asal seperti al-Quran, hadith, ijmak dan qias adalah ditolak oleh Islam.
  • Amalan memuja dan memohon pertolongan darinya seperti yang selalu dilakukan oleh setengah bomoh dan dukun adalah syirik dan menyesatkan orang-orang yang bersahabat dan menggunakan jin dan tukang sihir dan tukang tenung adalah tergolong di dalam golongan orang-orang yang bodoh dan menzalimi diri sendiri.
  • Amalan penggunaan azimat atau tangkal sebagai pelindung diri seperti ilmu kebal, ilmu pengasih, ilmu pelemah hati, ilmu penjauh jin dan sebagainya yang dicampuradukkan dengan sihir adalah syirik dan menyeleweng dari ajaran Islam. 

ROGAYAH BINTI CHEK Jabatan al-Quran dan al-Hadith Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. DOKTRIN KHURAFAT : PEMAHAMAN MENURUT PERSPEKTIF AL-QURAN DAN AL-HADITH INTERNATIONAL CONFERENCE ON AQIDAH, DAKWAH AND SYARIAH 2016 (IRSYAD 2016)

BENTUK PENERBITAN DAN GARIS PANDUAN FILEM

BENTUK PENERBITAN

Bentuk Penerbitan Berkaitan Dengan Khurafat dan Tahyul Yang Dilarang 
(a) Semua penerbitan yang memaparkan bentuk-bentuk pemujaan dan permohonan kepada ‘makhluk halus’, bagi tujuan-tujuan tertentu. Contohnya: Penerbitan yang mempromosi amalan-amalan pemujaan ‘semangat’ keris-keris lama

(b) Semua penerbitan yang mempromosikan ‘sifat luar biasa’ sesuatu objekobjek tertentu.

Contohnya:

  • Mengenai kepercayaan kepada objek-objek seperti cincin batu akek, keris lama, tombak yang dianggap boleh memberi apa-apa manfaat ataupun pertolongan.
  • Mengenai kepercayaan kepada sial-majal seperti adat mandi limau, mandi safar dan adat mandi membuang sial.

(c) Semua penerbitan yang memaparkan cerita-cerita rekaan, dongeng, khayalan atau kepercayaan karut. Contohnya: Mengenai kepercayaan kepada cerita-cerita kononnya dengan ‘memaku’ tengkok Pontianak boleh menyebabkan Pontianak tersebut menjelma semula menjadi manusia.

(d) Semua penerbitan yang memaparkan cerita-cerita bersumberkan daripada kepercayaan lama, kepercayaan kepada petanda, pantang larang dan adat istiadat yang bercanggah dengan ajaran Islam.

Contohnya:

  • Mengenai kepercayaan kepada petanda-petanda dan pantang larang, seperti tidak boleh melihat bayi di cermin muka kerana kononnya kelak ia akan mati di dalam air.
  • Mengenai kepercayaan bahawa tidak boleh keluar ketika gagak berbunyi, takut mendapat sial atau bala
  • Mengenai kepercayaan kepada bertambah dan berkurangnya rezeki, seperti adat memuja semangat padi dan membuang ancak. 

GARIS PANDUAN


A. Untuk filem yang menyentuh agama Islam, perkara di bawah ini perlu diberi perhatian dan diteliti secara mendalam, supaya tidak menimbulkan kontroversi dan keraguan di kalangan masyarakat:
  • mempersoal, mempersenda dan memperkecil kesucian Islam;
  • bercanggah dengan akidah, hukum dan ajaran Islam;
  • bercanggah dengan pegangan mazhab-mazhab yang muktabar;
  • bertentangan dengan pendapat kebanyakan ulama;  
  • unsur khurafat;
  • menimbulkan keraguan dan kegelisahan awam;
  • menyalahi fakta sejarah, umpamanya Sirah Rasul;
  • penulisan ayat-ayat al-Quran dalam bentuk tulisan selain bahasa Arab;
  • mempersoalkan kewibawaan sumber-sumber hukum agama yang telah diterima umum, iaitu al-Quran, Hadis, Ijmak dan Qias;
  • mempertikaikan fatwa yang telah dikeluarkan oleh Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam dan Fatwa Negeri;
  • unsur-unsur mempersendakan kewibawaan pandangan mana-mana Mazhab yang empat, iaitu Syafie, Hanafi, Maliki dan Hambali serta pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah;
  • merendah-rendah dan mempersendakan kewibawaan serta maruah ulama Muktabar khususnya para Mufti;
  • menggunakan isu-isu Islam dan memaparkan adegan-adegan yang boleh membawa kepada perpecahan di kalangan umat Islam di negara ini;
  • dialog atau adegan yang memenangkan atau membanggakan keuntungan atau faedah baik tanpa balasan buruk kepada pelaku yang keluar daripada agama Islam;
  • orang Islam memegang peranan sebagai sami, paderi, biarawati dan lain-lain serta melakukan ibadat di kuil, gereja dan sebagainya;
  • orang Islam meminum arak, berjudi, melakukan maksiat, kecuali bertujuan mengisahkan penghijrahan daripada kejahatan kepada kebaikan; dan perlakuan yang membanggakan membunuh diri dan adegan ini dipanjangkan masanya. 

B. Filem yang mengandungi adegan dan dialog yang berunsur syirik dan menyentuh akidah hendaklah diteliti secara mendalam supaya tidak menimbulkan kontroversi dan keraguan dalam kalangan masyarakat. Paparannya dibenarkan sekiranya mempunyai tujuan memperbetulkan akidah dan mengelakkan terjerumus kepada syirik. Watak atau pelaku dalam adegan dan dialog yang melanggar akidah agama itu wajib berkesudahan dengan kesedaran dan bertaubat atau dengan balasan buruk terhadap dirinya. Antaranya termasuklah:
  • guru atau murid satu-satu ajaran, amalan atau tarikat membuat pengakuan menerima wahyu;
  • guru membuat pengakuan memegang kunci pintu syurga;
  • mengamalkan zikir dengan suara yang kuat, berzikir dalam kelambu, tempat gelap yang melibatkan pergaulan bebas lelaki dan wanita;
  • mengaku gurunya sebagai bertaraf Nabi atau malaikat;
  • mempercayai penjelmaan semula roh orang yang telah mati ke dalam jasad orang yang masih hidup;
  • memberitahu orang lain bahawa dia seorang wali;
  • mempercayai zikir seorang guru boleh menghindarkan hari kiamat;
  • gurunya boleh memberi syafaat di akhirat;
  • pengikut tarekat yang dianjurkan oleh sesuatu golongan dijamin masuk syurga;
  • mempercayai guru boleh menebus dosa dengan wang;
  • mempercayai bahawa semua agama adalah sama;
  • mempercayai bahawa ada Nabi lain selepas Nabi Muhammad SAW;
  • mempercayai istighashah (seruan terhadap orang mati) boleh memberi pertolongan dan berkat kepada mereka;
  • memohon pertolongan guru atau orang lain atau benda-benda tertentu seperti batu, cincin dan sebagainya sebagai wasilah untuk sampai kepada Tuhan;
  • menyampaikan atau mengajarkan sesuatu ilmu secara rahsia;
  • mendakwa bahawa sesuatu ilmu yang diajar tidak boleh dipelajari oleh orang lain;
  • bersumpah bahawa sesuatu ajaran itu tidak akan diberitahu kepada orang lain;
  • menggambarkan wajah guru semasa beramal ibadat;
  • penyerahan rohani atau jasmani kepada guru, sama ada melalui cara nikah batin atau zahir;
  • mengakui dirinya atau gurunya sebagai Nabi atau Rasul;
  • mengakui dirinya atau gurunya sebagai Imam Mahadi;
  • mengakui dirinya atau pengikutnya sahaja yang layak memperoleh maunah, iaitu pertolongan langsung daripada Allah SWT sedangkan orang lain tidak sama sekali layak untuk menerimanya;
  • mengaku Allah SWT menjelma di dalam dirinya;
  • mendakwa atau mengaku dirinya sebagai wakil Nabi yang boleh memberi syafaat kepada muridnya;
  • mempercayai wahyu masih lagi turun selepas wafatnya Nabi Muhammad SAW;
  • mendakwa ajaran atau tarekat yang diamalkan diambil terus daripada Rasulullah secara sedar
  • mempercayai bahawa orang-orang tertentu tidak mati dan akan lahir semula menjadi manusia istimewa seperti Imam Mahadi dan sebagainya;
  • mengaku dan mempercayai seseorang itu boleh berhubung dengan Allah SWT melalui Nur Muhammad yang berada dalam dirinya dan dengan demikian mendakwa pasti masuk syurga;
  • mempercayai dan mengaku adanya kemasukan =roh orang yang telah mati ke dalam diri seseorang lain sebagaimana yang diamalkan dalam amalan menurun oleh bomoh ataupun tukang sihir;
  • disyaratkan minum air yang disediakan oleh guru sebagai salah satu upacara bagi menyertai sesuatu ajaran;
  • memansuhkan syariat-syariat Islam seperti sembahyang, puasa, haji dan membuat syariat baru; meninggalkan sembahyang Jumaat kerana mengamalkan suluk;
  • mendakwa bahawa ibadat Haji tidak semestinya ditunaikan di Makkah tetapi boleh ditunaikan di tempat-tempat lain;
  • menyalahgunakan ayat-ayat al-Quran bagi tujuan menarik perhatian orang ramai;
  • mempercayai bahawa bacaan-bacaan seseorang guru terhadap sesuatu benda seperti batu, gunung, bukit dan kayu boleh memberikan kesan baik atau buruk kepada mereka; dan
  • mengkafirkan orang Islam lain dengan sewenangwenangnya.
RUJUKAN :

GARIS PANDUAN PENAPISAN FILEM (Diterbitkan oleh / Published by Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan Kementerian Dalam Negeri Aras 2, Blok D2, Kompleks D, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62546 W.P. Putrajaya.)

CONTOH FILEM DAN UNSUR KHURAFAT DI DALAMNYA

UNSUR-UNSUR YANG WUJUD DALAM FILEM SERAM 

Unsur-unsur khurafat dan tahyul ini jelas dalam filem “khurafat” dan “sumpahan kumkum”.
Dalam filem khurafat, unsur khurafat yang jelas dapat dilihat adalah ketika mana watak Johan yang perlu menghantar jenazah Anna (bekas kekasihnya) yang mati kerana membunuh diri ke kampung. Dalam perjalanan penghataran jenazah tersebut, tiba-tiba radio yang sedang mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran terhenti, sejurus itu, pemandu van tersebut menoleh ke belakang dan mendapati jenazah Anna berada disebelahnya dan mengakibatkan kemalangan. Setelah kematian tersebut, Johan dikejar oleh Anna bagi menuntut janji Johan untuk bersamanya.
Unsur-unsur khurafat dalam filem ini mampu memomokkan pemikiran penonton bahawa setiap jenazah atau mayat individu yang telah meninggal dunia boleh dihidupkan semula. Hal ini secara tidak langsung mengakibatkan masyarakat takut mendekati jenazah dan menyakini bahawa setiap jenazah yang meninggal akibat disihir akan menjadi pocong bagi menuntut bela.

Begitu juga dalam filem Sumpahan Kum-Kum yang mana Mila menemui Mak bagi menghilangkan jerawat-jerawat di mukanya kerana malu dengan ejekan rakan-rakan di tempat kerjanya. Setelah itu Mak Mah mandikan Mila dengan air bunga dan kemudiannya memasukkan susuk di mukanya dengan syarat Mila tidak melihat cermin selama 44 hari. Semua amalan-amalan ini adalah bertentangan dengan apa yang diajarkan di dalam Islam. Islam mengajar umatnya bahawa setiap hajat atau pertolongan hendaklah dipohon kepada Allah. Malahan, dituntut untuk berusaha dan berikhtiar untuk mengubati penyakit yang dialami, akan tetapi haruslah menepati garis panduan syarak dan tidak menyekutu Allah dengan sesuatu.

Menyeru Roh Atau Hantu

Amalan dalam menyeru roh dan hantu (Abdulfatah Haron Ibrahim 2002: 157-158) sebenarnya bukanlah datang daripada si mati, tetapi ia adalah merupakan seruan kepada jin. Hal ini adalah disebabkan jin boleh menyerupai dan memasuki badan manusia serta mengeluarkan suara-suara tertentu dan aneh, seperti yang dapat dilihat dalam filem Nangkrong. Iaitu ditonjolkan adegan bomoh handal yang telah ditemui oleh Aman, Bada dan Cumi dengan menyeru “Puteri Laut” bagi memperolehi nombor ekor. Kebiasaan masyarakat pada hari ini gemar memohon bantuan melalui perantaraan seperti mana memuja kubur-kubur dan sebagainya bagi memperolehi kepentingan dan tujuan tertentu.

BEBERAPA ASPEK YANG BERCANGGAH DENGAN ISLAM DALAM FILEM YANG DIKAJI

Filem Khurafat

Dalam filem ini, wujud dialog di antara Aishah (isteri Johan) dengan ibu mertuanya bahawa roh orang yang mati kerana bunuh diri tidak akan tenteram selagi mana hajatnya tidak 481 tercapai (Pemerhatian pada durasi 6:27).
Hal ini jelas dapat dilihat, wujudnya unsur-unsur tahyul dan khurafat yang bertentangan dengan hukum Islam untuk dipercayai. Akan tetapi, melalui penontonan filem ini sedikit sebanyak mampu mempengaruhi dan meracuni pemikiran penonton sekaligus dapat memesongkan akidah mereka. Selain itu juga, wujud suatu adegan di mana bomoh yang dijumpai oleh Johan untuk meminta pertolongannya bagi mendapatkan Anna memberi peringaran kepada Johan supaya tidak sesekali Johan mengabaikan Anna kerana seandainya johan mengabaikannya, hidup Johan tidak akan tenteram (Pemerhatian pada durasi 1:05:39). Hal ini kerana benda tersebut akakn kekal denga Johan sehingga mati. Melalui peringatan ini, jelaslah bahawa Johan telah membuat perjanjian dengan syaitan. Perkara seperti ini adalah syirik dan jelas dilarang oleh Allah iaitu dengan menyekutukan Allah dengan sesuatu.
Kesimpulannya, filem ini jelas menunjukkan wujud unsur-unsur yang bertentangan dengan akidah Islam. Isu ini amat penting dan sangat perlu diambil peduli kerana ianya berkait dengan akidah seseorang Muslim dan mempunyai peluang yang besar untuk mempengaruhi minda penonton.

Filem Sumpahan Kum-Kum 

Berdasarkan pemerhatian terdapat beberapa unsur yang bertentangan dengan akidah Islam yang terdapat dalam filem ini. Antaranya ketika mana watak Shima dibunuh oleh Mila di dalam sebuah tandas di satu hentian rehat sebagai syarat bagi mengembalikan kecantikan wajahnya dengan meminum sembilan darah anak dara sunti (Pemerhatian pada durasi 04:48).
Hal ini jelaslah, wujud unsur-unsur yang bercanggah dengan agama Islam. Wujud unsur syirik, yang mana mereka meminta pertolongan dengan syaitan bagi mendapatkan sesuatu. Walhal, dalam Islam seseorang itu diminta untuk memohon kepada Allah S.W.T apabila berhajat kepada sesuatu. Begitu juga unsur perjanjian yang dibuat oleh Mila dengan syaitan yang mana mersakkan dirinya sendiri. Unsur-unsur ini adalah sesuatu yang merbahayakan penonton yang menonton filem ini, kerana mereka cenderung untuk mengikuti dan meniru tindakan yang diambil oleh watak dalam filem ini. Justeru itu, para pengarah filem yang ingin menerbitkan filem-filem berunsur seram haruslah mendapatkan pandangan para agamawan bagi mengelakkan wujudnya unsur-unsur yang bertentangan dengan akidah dalam filem tersebut.

Filem Nongkrong 

Melalui filem Namgkrong, terdapat unsur-unsur yang bertentangan dengan syariat Islam. Antaranya upacara yang dilakukan oleh seorang bomoh handal (Azlee) dengan menyeru atau memanggil jin (Puteri Laut) bagi memenuhi permintaan tiga orang pemuda iaitu Aman, Bada dan Cumi bagi memperolehi nombor ekor (Pemerhatian pada durasi : 0:13- 0:18.Trailer) setelah mereka menyatakan hajat mereka, puteri laut tersebut bersetuju dengan mengenakan syarat bahawa salah seorang daripada mereka iaitu Bada perlu mengahwininya. Lalu, Bada bersetuju setelah melihat kecantikan dan kejelitaan puteri tersebut.
Di sini, dapat dilihat bahawa tiga unsur yang bertentangan dengan akidah iaitu, syirik ketika mana ketiga-tiga pemuda tersebut meminta bantuan jin dalam mendapatkan wang. Seterusnya, mereka juga telah membuat perjanjian dengan syaitan bagi memperolehi nombor ekor yang mana perkara seperti ini adalah jelas bertentangan dengan hukum Islam. Terakhir, hal berkaitan dengan perjanjian perkahwinan di antara manusia dan jin. Islam melarang keras sama sekali terhadap perkahwinan sedemikian

RUJUKAN
Monika @ Munirah Abd Razzak Siti Khadijah Rahim Norrodzoh Hj Siren Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya & Nik Mohd Zaim Ab Rahim Fakulti Tamadun Islam, Universiti Teknologi Malaysia, PENGARUH FILEM TERHADAP AKIDAH MUSLIM: ANALISIS UNSURUNSUR SYIRIK DALAM TIGA FILEM SERAM



KESIMPULAN

RUJUKAN

  1. http://noormasbelladoremi.blogspot.my/
  2. Abu Muhammad An-Naqsyabandiy Al-Fifilani, Khurafat menurut perspektif al-Quran dan al-sunnah, Penerbit Pusat Bimbingan Islamiah Darul Tazhib, 2009
  3. Isma'il bin Mat, Ulama silam dalam kenangan, Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia
  4. Rogayah Binti Chek Doktrin Khurafat : Pemahaman Menurut Perspektif Al-Quran Dan Al-Hadith, International Conference On Aqidah, Dakwah And Syariah 2016 (Irsyad 2016)
  5. http://conference.kuis.edu.my/irsyad/eproceeding/2016/1076-irsyad-2016.pdf
  6. http://lpf.moha.gov.my/lpf/images/Perundangan/GARIS_PANDUAN_PENAPISAN_FILEM(1).pdf
  7. http://ukmsyariah.org/terbitan/wp-content/uploads/2016/10/37-Monika-et-al.pdf
  8. http://masjid.melaka.gov.my/koleksiFatwa/KATEGORI%20AQIDAH/FATWA%2020%20-%20Perkara%20Khurafat.pdf